SALAM MAAL HIJRAH 1438H

MANA PERGINYA

Pak Teh | Rabu, November 30, 2011 |

Siput mata kerbau
Baru-baru ini Pak Teh balik ke kampung.....teragak pulak nak berjalan-jalan di tepi pantai berhampiran rumah orang tua Pak Teh. Pantai itu agak terpencil lokasinya dan memang jarang orang ke situ, kecuali penduduk kampung sahaja yang tahu lokasi tersebut. Kawasan pantai itu banyak batu-batu yang merupakan tempat membiak siput-siput laut dan teritip. Pak Teh masih ingat masa kecil-kecil selalu pergi ke situ untuk mencari siput laut; antaranya siput halia, siput timba, siput mata kerbau dan banyak lagi. Kalau siput timba agak mudah mencarinya kerana ia menjalar di atas batu-batu. Kalau siput halia dan siput mata kerbau kena terbalikkan batu-batu tersebut kerana siput-siput itu berada di bahagian bawah batu-batu. Biasanya bila Pak Teh bersama adik beradik dan arwah emak pergi ke situ bukan setakat mencari siput sahaja, kami juga mencari teritip. Tapi mencari teritip arwah emak yang lakukan kerana agak rumit untuk mendapatkan isi teritip tersebut. Untuk mendapatkan isi teritip, perlu dipecahkan dulu cengkerangnya yang melekat pada batu menggunakan besi. Kalau tidak biasa, memang mudah luka jari-jari kerana cengkerang teritip itu tajam. Kadangkala nak mendapatkan isi teritip penuh sebuah tin susu cair memakan masa 4, 5 jam. Jadi Pak Teh yang masih kecil masa itu hanyalah setakat mencari siput-siput sahaja. Bila sampai di rumah siput-siput itu dibersihkan dari kotoran lumpur atau pasir, kemudian di rebus dengan mencampur sedikit hirisan bawang kecil.
Biasanya bila dah siap rebus, kami adik beradik duduk bersila mengelilingi periuk rebusan siput tadi. Masing-masing siap memegang pin baju (safety pin). Untuk apa pin baju tu? Pin itu digunakan untuk mencungkil keluar isi siput. Bila dah keluar terus ngap dalam mulut! hehehehe...Biasanya siput timba kurang mendapat perhatian walaupun rasanya lebih sedap kerana isinya sedikit, tak puas makan. Jika nak puas makan, siput mata kerbau jadi pilihan, isinya banyak. Isi siput halia walaupun banyak tetapi ramai kurang minat kerana sebelum dimakan kena buangkan bahagian yang pahitnya.
Tetapi semua itu hanya tinggal memori sahaja kerana lokasi tersebut tidak ada langsung siput-siput atau teritip yang hidup, hanya yang tinggal batu-batu sahaja. Walaupun Pak Teh tidak melakukan kajian tetapi Pak Teh yakin ketiadaan siput dan teritip di situ kerana akibat pencemaran air. Tidak hairanlah kalau ada generasi sekarang tidak tahu apa yang Pak Teh ceritakan tadi.

Siput halia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen jelah apa yang patut...TERIMA KASIH

Next previous home