SALAM MAAL HIJRAH 1438H

MANA PERGINYA

Pak Teh | Rabu, November 30, 2011 |

Siput mata kerbau
Baru-baru ini Pak Teh balik ke kampung.....teragak pulak nak berjalan-jalan di tepi pantai berhampiran rumah orang tua Pak Teh. Pantai itu agak terpencil lokasinya dan memang jarang orang ke situ, kecuali penduduk kampung sahaja yang tahu lokasi tersebut. Kawasan pantai itu banyak batu-batu yang merupakan tempat membiak siput-siput laut dan teritip. Pak Teh masih ingat masa kecil-kecil selalu pergi ke situ untuk mencari siput laut; antaranya siput halia, siput timba, siput mata kerbau dan banyak lagi. Kalau siput timba agak mudah mencarinya kerana ia menjalar di atas batu-batu. Kalau siput halia dan siput mata kerbau kena terbalikkan batu-batu tersebut kerana siput-siput itu berada di bahagian bawah batu-batu. Biasanya bila Pak Teh bersama adik beradik dan arwah emak pergi ke situ bukan setakat mencari siput sahaja, kami juga mencari teritip. Tapi mencari teritip arwah emak yang lakukan kerana agak rumit untuk mendapatkan isi teritip tersebut. Untuk mendapatkan isi teritip, perlu dipecahkan dulu cengkerangnya yang melekat pada batu menggunakan besi. Kalau tidak biasa, memang mudah luka jari-jari kerana cengkerang teritip itu tajam. Kadangkala nak mendapatkan isi teritip penuh sebuah tin susu cair memakan masa 4, 5 jam. Jadi Pak Teh yang masih kecil masa itu hanyalah setakat mencari siput-siput sahaja. Bila sampai di rumah siput-siput itu dibersihkan dari kotoran lumpur atau pasir, kemudian di rebus dengan mencampur sedikit hirisan bawang kecil.
Biasanya bila dah siap rebus, kami adik beradik duduk bersila mengelilingi periuk rebusan siput tadi. Masing-masing siap memegang pin baju (safety pin). Untuk apa pin baju tu? Pin itu digunakan untuk mencungkil keluar isi siput. Bila dah keluar terus ngap dalam mulut! hehehehe...Biasanya siput timba kurang mendapat perhatian walaupun rasanya lebih sedap kerana isinya sedikit, tak puas makan. Jika nak puas makan, siput mata kerbau jadi pilihan, isinya banyak. Isi siput halia walaupun banyak tetapi ramai kurang minat kerana sebelum dimakan kena buangkan bahagian yang pahitnya.
Tetapi semua itu hanya tinggal memori sahaja kerana lokasi tersebut tidak ada langsung siput-siput atau teritip yang hidup, hanya yang tinggal batu-batu sahaja. Walaupun Pak Teh tidak melakukan kajian tetapi Pak Teh yakin ketiadaan siput dan teritip di situ kerana akibat pencemaran air. Tidak hairanlah kalau ada generasi sekarang tidak tahu apa yang Pak Teh ceritakan tadi.

Siput halia

TEKA TEKI SIPUT BABI

Pak Teh | Sabtu, November 26, 2011 |
Rasanya tak perlulah Pak Teh perkenalkan siput babi sebab semua orang kenal. Haiwan yang dianggap sebagai perosak kepada tanaman. Adalah malang bagi siput babi ini kerana mudah dimusnahkan, cengkerangnya agak lembut dan pergerakannya terlalu perlahan. Apa yang Pak Teh nak kongsi cerita ialah teka teki pasal siput babi. Biasalah.. sesetengah teka teki jawapannya tidak masuk akal dan ada juga yang melucukan. Teka teki ini hanya untuk suka-suka je. Soalan teka tekinya berbunyi "Kenapa siput babi bergerak perlahan?"
Sementara ini Pak Teh tak bagi lagi jawapannya. Pak Teh tunggu dulu jawapan-jawapan kekawan melalui komen

KISAH DOLU-DOLU

Pak Teh | Rabu, November 23, 2011 |
Pagi ni teragak pulak Pak Teh nak makan roti canai...biasanya dalam seminggu sekurang-kurangnya 2 kali Pak Teh bersarapan dengan roti canai...Sebut pasal roti canai ni, teringat Pak Teh makan roti canai di Kota Bharu pada awal 70an. Masa tu Pak Teh terlibat dengan suatu kejohanan sukan peringkat kebangsaan...Sampai di warong tu, Pak Teh nampak berselera dengan roti canai yang dijual...Pak Teh terus order...Bila dihantar, seperti kebiasaannya Pak Teh akan cakap, " tolong bagi saya dal campur sambal"..Tuan punya warong itu tersenyum sambil bercakap dalam loghat Kelantan, " kami takde sediakan...kalau encik hendak, susu dan gula ada"...Pak Teh terpinga-pinga kerana Pak Teh tak pernah makan roti canai dengan susu atau gula...Rakan Pak Teh di sebelah "berbisik", "di sini roti canai memang makan roti canai dengan susu atau gula"...Jadi kata orang, masuk kandang kambing mengembek, Pak Teh orderlah susu...Pak Teh makan roti canai pagi tu rasa lain macam jer, maklumlah Pak Teh ni tak suka makan makanan yang manis-manis...kira itu pengalaman pertama Pak Teh..tapi semua itu sudah menjadi nostalgia kerana sekarang kalau pergi ke KB, kita bukan setakat masih boleh makan roti canai dengan susu tetapi boleh juga makan dengan kari dan dal...



TERHARU DAN SIMPATI

Pak Teh | Isnin, November 21, 2011 |
Ada masanya Pak Teh terharu..adakala simpati dan adakalanya kesian apabila terpampang di muka hadapan akhbar atau tersiar di tv,   bila keputusan peperiksaan diumumkan. Jika di akhbar-akhbar penuh dengan gambar-gambar kejayaan pelajar....mungkin ini merupakan suatu bentuk pengiktirafan ke atas murid-murid yang mencapai kejayaan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan....tapi pada pendapat Pak Teh kadangkala publisiti yang dibuat agak keterlaluan, sehinggakan ada ibubapa yang tidak boleh menerima hakikat yang anak mereka tidak mendapat keputusan cemerlang...lebih malang bila ada komen-komen yang kurang enak di dengar..."bila keputusan cemerlang, murid dan ibubapa dipuji dan bila keputusan merosot sekolah dan guru dipersalahkan"...
Semua ini tidak akan terjadi jika semua pihak faham konsep penilaian......mungkin ramai yang tidak tahu kenapa dinamakan UJIAN PENILAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR), PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR)  dan SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM). Semua itu secara mudah boleh dikatakan sebagai suatu peperiksaan, cuma salah satu perbezaannya adalah dari segi objektif diadakan peperiksaan tersebut...Oleh kerana kurang faham inilah maka ramai ibubapa kecewa dengan anak mereka walaupun hanya disebabkan kurang cemerlang dalam UPSR sedangkan UPSR itu hanyalah bertaraf UJIAN dan hanya diberi pengakuan berbentuk SLIP sahaja bukannya SIJIL.
Jika hendak dibahaskan isu ini, Pak Teh  rasa agak panjang juga entri Pak Teh nanti. Memadailah kalau Pak Teh katakan kegagalan atau kurang cemerlang UPSR bukanlah bermakna "gelap masa hadapan" anak-anak, mereka masih ada masa panjang untuk memperbaiki kelemahan mereka, masih ada PMR dan SPM. Beri mereka peluang dan beri kata-kata semangat kerana telah terbukti pelajar cemerlang di peringkat SPM tidak semua yang cemerlang dalam UPSR atau PMR...kita kena ingat makhluk yang dicipta oleh Allah swt berada dalam keadaan "normal curve" atau "lengkok normal" ( bagi mereka yang tahu statistik mungkin faham maksud Pak Teh) ...wallahhualam 

MENDAHULUI IMAM DALAM SOLAT

Pak Teh | Jumaat, November 18, 2011 |
Foto hiasan








Ada juga makmum  yang ambil mudah bila solat berjemaah...ada yang lebih cepat dari pergerakan imam dan ada yang terlalu lambat mengikut imam. Dalam entri ini Pak Teh nak kongsi satu kisah mengenai makmum yang mendahului imam, dipetik daripada Mirqat al-Mafatih dalam buku Solat Berjemaah karangan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz:
Diriwayatkan daripada setengah ulama hadis bahawa ada seorang lelaki telah pergi ke Damsyik kerana ingin mengambil riwayat hadis daripada seorang guru yang masyhur di sana.
Setibanya di sana dia telah diterima sebagai murid oleh guru tersebut dan terus memulakan pengajian dengannya. Apa yang menghairankan pelajar ini ialah gurunya telah meletakkan tabir semasa mengajar menyebabkan dia tidak dapat melihat muka gurunya dan tidak dapat mengenalinya.
Oleh kerana keinginan yang kuat, walaupun tidak melihat wajah guru, pelajar tersebut meneruskan pengajiannya dengan tekun dan beristiqamah. Setelah pengajiannya berlarutan memakan masa yang lama dan gurunya mula yakin dengan keikhlasan dan kesungguhannya, maka guru tersebut telah membuka tabir yang menghalang di antara mereka. Bila tabir dibuka, anak muridnya terkejut kerana wajah gurunya bukan wajah manusia tetapi wajah keldai.
Gurunya berkata: "Wahai anakku, berwaspadalah kamu daripada mendahului pergerakan imam ketika solat fardhu berjemaah. Sesungguhnya ketika dibacakan hadis ini kepadaku, aku beranggapan jauh kemungkinan berlaku pertukaran kepala atau wajah kepada kepala atau wajah keldai apabila seseorang mendahului perbuatan imamnya ketika solat. Lalu ketika solat aku sentiasa melakukannya, maka tiba-tiba bertukarlah mukaku kepada sebagaimana yang kamu lihat sekarang"

Wallahhualam

MAIN BOLA GUNA BOMOH

Pak Teh | Ahad, November 13, 2011 |
                                             
Dalam kehangatan mengikuti perkembangan bolasepak Sukan SEA di Indonesia, teringat Pak Teh bermain bolasepak di sekolah rendah dulu. Pak Teh taklah bagus sangat bermain tetapi terpilih jugak sebagai striker pasukan sekolah. Sekolah Pak Teh sekolah kampung, nak jadi johan daerah susahlah sikit. Tapi entah macam mana tahun tu nasib menyebelahi sekolah Pak Teh, dapat jadi johan daerah. Setelah bermain di peringkat antara daerah, sekolah Pak Teh dapat masuk final, buat pertama kali dalam sejarah sekolah tu...Masa itu dah kira macam masuk final Piala Dunia rasanya...hehehehe...mana tidaknya, dah jadi perbualan hangat orang kampung...di kedai kopi takde cerita lain, pasal sekolah Pak Teh masuk final tambahan pulak di  pertandingan separuh akhir, sekolah Pak Teh mengalahkan sekolah Johan peringkat negeri beberapa tahun...(Pak Teh dengar semua pemain sekolah tu kena kurung dalam jamban sekolah separuh hari sebagai hukuman kerana kalah...tapi sekarang tak berlaku kes begitu, kalau berlaku dah sah kes polis! hehehe)

Sebagai persediaan ke final, adalah pihak yang membawa kami berjumpa bomoh, konon-konon salah satu ikhtiar nak menang. Pak Teh masih ingat, setelah bomoh berjampi, secara bergilir kami di tepuk-tepuk belakang badan, macam nak gugur jantung dibuatnya...antara pantang larang yang Pak Teh masih ingat, tidak boleh masuk bawah rumah dan bawah ampaian kain menjelang final.
Di hari final, kami pagi-pagi lagi di bawa ke pusat bandar dan menginap di Rumah Rehat (rest house) kerana sebelah petangnya final di stadium negeri, maklum sahajalah pertama kali masuk final, layanan tentu istimewa. Masa itu kalau duduk di Rumah Rehat dah kira hotel sekarang ni..
Sebelum bergerak ke stadium yang jaraknya dalam 150 meter, kami sekali lagi dijampi oleh bomoh dan tiap kuku jari tangan ditekan dengan kuku ibu jari bomoh itu dengan kuat, sampai merah kuku :-)
Dipendekkan cerita, pasukan kami kalah agak teruk, kalah 4 kosong...apa yang Pak Teh nak kongsi di sini, kita janganlah "menghalalkan yang haram" untuk mencapai kejayaan...
Wallahhualam

PERTUKARAN TUGAS MALAIKAT

Pak Teh | Selasa, November 08, 2011 |





Ramai yang mendakwa dirinya tidak meninggalkan solat 5 waktu tetapi adakah solat itu memenuhi ciri-ciri solat yang lebih afdal. Antara cirinya ialah solat tepat pada waktunya dan berjemaah di masjid/surau. Bukan setakat itu sahaja, solat berjemaah di masjid mendapat 27 kali ganda pahala berbanding solat bersendirian. Walaupun para isteri kurang berpeluang  solat berjemaah di masjid, mereka juga akan dapat pahala jika suaminya berjemaah di masjid. Solat berjemaah di masjid lebih dituntut pada waktu solat Subuh, Asar dan Isyak kerana pada waktu solat Subuh dan Asar, adalah waktu pertukaran tugas malaikat. Marilah kita sama-sama merebut peluang ini. Wallahhualam



Rujukan: Solat Berjemaah oleh Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz

TAK CUKUP SEKADAR CAKAP "EEEE..TAK MALU"

Pak Teh | Sabtu, November 05, 2011 |
Sudah menjadi kelaziman bila anak-anak kecil mandi bertelanjang...bukan setakat masa mandi, malah bertelanjang semasa masuk dan keluar bilik mandi...tabiat ini kalau dibiarkan akan menyebabkan kanak-kanak kurang rasa malu walaupun masih belum akil baligh...dan kanak-kanak akan celaru fikirannya apabila ditegur... "kenapa dulu boleh, sekarang tak boleh!" Jadi eloklah kita tanamkan perasaan malu itu di peringkat mereka belum dapat berfikir begitu. 


Rasulullah saw pernah bersabda, "Setiap agama ada akhlaknya, bagi Islam akhlaknya ialah MALU" (maaf tidak dapat nyatakan rujukannya). Rasulullah saw meletakkan malu sebagai tiang kepada akhlak, hilang rasa malu rosaklah akhlak. Untuk memperolehi akhlak yang baik, kita kena malu kepada Allah swt, malu kepada diri sendiri dan malu kepada makhluk Allah.
Berbalik kepada isu anak-anak mandi bertelanjang di atas tadi, adalah lebih baik kita tanamkan perasaan malu dari awal lagi walaupun kita sedia maklum anak-anak tersebut belum ada perasaan malu.Kata orang melentur itu biarlah daripada rebungnya... Walahhualam

Next previous home