SALAM MAAL HIJRAH 1438H

Pencarian Blogger Aktif oleh Mialiana.com

Pak Teh | Jumaat, Disember 30, 2011 |
Pencarian Blogger Aktif
Pencarian Blogger Aktif oleh Mialiana.com
25/12/2011 hingga 31/12/2011
Terlebih dahulu Pak Teh ucapkan tahniah kepada Mialiana atas inisiatif beliau mengumpul blogger yang dikategorikan sebagai blogger yang aktif. Aktif dalam erti kata selalu update blog masing-masing. Bukan setakat rajin update tapi perlu juga rajin blogwalking terutamanya di kalangan ahli blogger aktif. Secara tak langsung dengan adanya segmen ini, para blogger aktif boleh menambah rakan blogger dan boleh menambah serta berkongsi info dari blogger lain.
Pada pendapat Pak Teh, ini satu idea yang baik. Oleh itu Pak Teh pun nak join gak segmen ini. Untuk menambahkan segmen ini lebih meriah, satu shoutbox khas untuk blogger aktif Pak Teh sediakan dalam blog sembang Pak Teh. Harap-harap tiada halangan buat Mia.

Kepada rakan-rakan blogger yang berhajat untuk join segmen ini dan nak tau cara-cara nak join, sila click link ini http://www.mialiana.com/2011/12/pencarian-blogger-aktif-oleh.html



RIMASLAH

Pak Teh | Jumaat, Disember 23, 2011 |
Memang terasa rimas bila orang asyik menegur kita tambahan bila ditegur perkara yang dikategorikan sebagai perkara remeh temeh. Macam-macam persepsi orang yang kena tegur, ada yang beranggapan teguran itu lebih berbentuk membenci atau gemar jaga tepi kain orang; dan bermacam-macam lagi persepsi mereka. Sebenarnya ramai yang tidak tahu ada hikmah disebalik teguran itu. Pertama, bila ada orang yang menegur bermakna ada perkara yang tidak betul kita buat. Kedua, teguran itu memberi peluang kepada kita muhasabah diri.Ketiga, apa yang Pak Teh dengar dari ceramah agama, teguran itu adalah merupakan satu tanda Allah s.w.t sayangkan kita; Allah s.w.t. hendakkan kita berubah kepada yang lebih baik. Jadi kita janganlah mudah menerima secara negatif apabila ada orang yang menegur kita. Wallahhualam

SAMPAI BILA?

Pak Teh | Khamis, Disember 15, 2011 |
"Sampai bilakah aku ni asyik ada masalah je!" Mungkin itu yang selalu kita dengar keluhan dari kawan-kawan. Ramai orang menganggap sesuatu yang kurang baik menimpa dirinya sebagai masalah. Apabila mereka menerimanya sebagai masalah dan jika tidak betul menanganinya, masalah itu akan menyebabkan seseorang itu menjadi tension. Habis tu nak kata apa kalau bukan masalah? Melalui pengalaman Pak Teh dan pembacaan Pak Teh, kita harus menerimanya sebagai satu UJIAN atau DUGAAN; ujian dan dugaan dari Allah s.w.t.. Kita ini makhluk Allah sentiasa diuji dan diduga oleh Allah s.w.t. Allah tidak menurunkan ujian dan malapetaka untuk memusnahkan dan membahayakan hambaNya, namun ujian dan dugaanNya itu adalah untuk menguji seberapa besar kesabaran dan penghambaan kita kepadaNya; juga menguji kekuatan iman kita. Melalui pengalaman Pak Teh, bila kita menerimanya sebagai satu ujian Allah, kita tidak mudah tension dan insyaAllah kita mudah menanganinya.
Jadi apakah yang harus kita lakukan bila berada di dalam keadaan itu? Kita WAJIB bersabar, itu kuncinya. Maksud sabar yang sebenarnya harus memiliki tiga perkara:
Pertama:  menahan diri daripada ketidakrelaan terhadap takdir Allah s.w.t.
Kedua:  menahan diri daripada mengeluh
Ketiga:  menahan anggota badan untuk melakukan maksiat (maksiat dalam konteks sesuatu yang dilarang oleh Allah s.w.t.)

Wallahhualam.

BENARKAH KITA BERSYUKUR

Pak Teh | Selasa, Disember 13, 2011 |
Kita selalu mengatakan yang kita sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat yang diberi. Tetapi adakah kita benar-benar bersyukur? Pak Teh ingin berkongsi info mengenai asas-asas yang kita dikatakan bersyukur kepada Allah s.w.t.
Pertama: yakin di dalam hati dengan nikmat yang Allah s.w.t.
Kedua: tahaddus bi ni'mah secara lahiriyah (mengungkapkan nikmat Allah)
Ketiga: menyalurkan nikmat yang Allah s.w.t. berikan ke jalan yang baik.

Semoga dengan info di atas Pak Teh dan kekawan dapat muhasabah diri yang mana selama ini sentiasa mengatakan bersyukur kepada nikmat Allah s.w.t.

MASIH BERLAKU

Pak Teh | Isnin, Disember 05, 2011 |
Pak Teh biasa melihat melalui tv dan selalu membaca mengenainya melalui akhbar-akhbar, tapi kali ini Pak Teh melihat sendiri kejadiannya.... Pak Teh pergi ke sebuah pasaraya yang mempunyai basement parking yang hanya boleh memuatkan kira-kira 50 buah kereta. Agak banyak juga kereta parking di situ, maklumlah jelah lunch hour. Dalam Pak Teh mencari-cari tempat kosong, ternampaklah dua tiga orang melakukan sesuatu pada sebuah kereta Kancil, tapi Pak Teh tidak merasakan sesuatu yang ganjil berlaku kerana pengawal keselamatan pun ada bersama. Nasib Pak Teh baik kerana ada satu tempat kosong, setelah mengunci pintu kereta, Pak Teh terus menaiki tangga ke pasaraya membeli barang. Lebih kurang setengah jam membeli barang, Pak Teh terus turun ke tempat parking. Kali ini Pak Teh agak hairan kerana bukan setakat dua tiga orang berada dekat kereta Kancil tadi, malah lebih ramai lagi. Pak Teh terus memasukkan barang dalam kereta dan terus pergi ke kereta Kancil yang dikerumuni ramai orang tadi. Rupa-rupa mereka sedang berusaha membuka pintu kereta Kancil itu. Dalam kereta Kancil ada seorang kanak-kanak dalam usia setahun lebih yang ditinggalkan, tidak tahu siapa yang meninggalkan kanak-kanak itu. Dalam usaha hendak membuka pintu kereta itu, pelbagai cara mereka cuba lakukan tapi tidak berjaya. Pak Teh tengok kanak-kanak itu berpeluh-peluh kepanasan. Ada yang menyarankan pecahkan sahaja cermin, ada yang menyarankan panggil bomba. Dalam pada itu, pengawal keselamatan mengatakan telah dibuat pengumuman dalam pasaraya tentang kanak-kanak yang dalam kereta Kancil itu. Kira-kira dalam 10 minit kemudian, ternampak seorang wanita berpakaian niqab (seperti dalam foto) menjinjing barang menuju ke kereta Kancil. Ada yang menegur wanita itu, "Kereta puan ke?" Tapi tidak nampak dia berjalan dalam keadaan cemas tambahan tidak nampak riak mukanya. Ada yang bertanya kenapa tinggalkan anak dalam kereta bersendirian, dia menjawab ringkas, "dia tidur tadi...ada udara dalam dalam kereta". Dia terus masuk kereta, hidupkan enjin kereta dan terus berlalu tanpa sepatah kata. Takde kata-kata terima kasih atas perihatin orang ramai terhadap anaknya. Apa yang Pak Teh kesalkan mengikut cerita pengawal keselamatan itu, dia perasan wanita itu berada dalam pasaraya semasa pengumuman dibuat dan nampak wanita itu keluar dari pasaraya, bukan terus ke kereta tetapi masuk pula ke kedai emas. Pak Teh tak nak komen lebih-lebih, memadailah Pak Teh berkongsi cerita ini.

MAKA BERKATALAH SAHL AL-TUSTURI

Pak Teh | Sabtu, Disember 03, 2011 |
"Setiap hamba mesti merasakan Tuhan pada setiap waktu dan tempat. Jika dia dapat merasakanNya, maka dia akan selalu menyempurnakan kekurangan ibadah kepadaNya. Jika berbuat maksiat, dia berkata, "Ya Tuhan, tutupilah aibku ini." Ketika telah melakukan maksiat, dia berkata, "Ya Tuhan, terimalah taubatku ini." Jika sudah bertaubat, dia berkata, "Ya Tuhan, kurniakanlah keselamatan daripada melakukan maksiat." Jika telah mengamalkan segala perintahNya, dia berkata, "Ya Tuhan, terimalah amalku ini."

Sumber: Keajaiban Istighfar


MANA PERGINYA

Pak Teh | Rabu, November 30, 2011 |

Siput mata kerbau
Baru-baru ini Pak Teh balik ke kampung.....teragak pulak nak berjalan-jalan di tepi pantai berhampiran rumah orang tua Pak Teh. Pantai itu agak terpencil lokasinya dan memang jarang orang ke situ, kecuali penduduk kampung sahaja yang tahu lokasi tersebut. Kawasan pantai itu banyak batu-batu yang merupakan tempat membiak siput-siput laut dan teritip. Pak Teh masih ingat masa kecil-kecil selalu pergi ke situ untuk mencari siput laut; antaranya siput halia, siput timba, siput mata kerbau dan banyak lagi. Kalau siput timba agak mudah mencarinya kerana ia menjalar di atas batu-batu. Kalau siput halia dan siput mata kerbau kena terbalikkan batu-batu tersebut kerana siput-siput itu berada di bahagian bawah batu-batu. Biasanya bila Pak Teh bersama adik beradik dan arwah emak pergi ke situ bukan setakat mencari siput sahaja, kami juga mencari teritip. Tapi mencari teritip arwah emak yang lakukan kerana agak rumit untuk mendapatkan isi teritip tersebut. Untuk mendapatkan isi teritip, perlu dipecahkan dulu cengkerangnya yang melekat pada batu menggunakan besi. Kalau tidak biasa, memang mudah luka jari-jari kerana cengkerang teritip itu tajam. Kadangkala nak mendapatkan isi teritip penuh sebuah tin susu cair memakan masa 4, 5 jam. Jadi Pak Teh yang masih kecil masa itu hanyalah setakat mencari siput-siput sahaja. Bila sampai di rumah siput-siput itu dibersihkan dari kotoran lumpur atau pasir, kemudian di rebus dengan mencampur sedikit hirisan bawang kecil.
Biasanya bila dah siap rebus, kami adik beradik duduk bersila mengelilingi periuk rebusan siput tadi. Masing-masing siap memegang pin baju (safety pin). Untuk apa pin baju tu? Pin itu digunakan untuk mencungkil keluar isi siput. Bila dah keluar terus ngap dalam mulut! hehehehe...Biasanya siput timba kurang mendapat perhatian walaupun rasanya lebih sedap kerana isinya sedikit, tak puas makan. Jika nak puas makan, siput mata kerbau jadi pilihan, isinya banyak. Isi siput halia walaupun banyak tetapi ramai kurang minat kerana sebelum dimakan kena buangkan bahagian yang pahitnya.
Tetapi semua itu hanya tinggal memori sahaja kerana lokasi tersebut tidak ada langsung siput-siput atau teritip yang hidup, hanya yang tinggal batu-batu sahaja. Walaupun Pak Teh tidak melakukan kajian tetapi Pak Teh yakin ketiadaan siput dan teritip di situ kerana akibat pencemaran air. Tidak hairanlah kalau ada generasi sekarang tidak tahu apa yang Pak Teh ceritakan tadi.

Siput halia

TEKA TEKI SIPUT BABI

Pak Teh | Sabtu, November 26, 2011 |
Rasanya tak perlulah Pak Teh perkenalkan siput babi sebab semua orang kenal. Haiwan yang dianggap sebagai perosak kepada tanaman. Adalah malang bagi siput babi ini kerana mudah dimusnahkan, cengkerangnya agak lembut dan pergerakannya terlalu perlahan. Apa yang Pak Teh nak kongsi cerita ialah teka teki pasal siput babi. Biasalah.. sesetengah teka teki jawapannya tidak masuk akal dan ada juga yang melucukan. Teka teki ini hanya untuk suka-suka je. Soalan teka tekinya berbunyi "Kenapa siput babi bergerak perlahan?"
Sementara ini Pak Teh tak bagi lagi jawapannya. Pak Teh tunggu dulu jawapan-jawapan kekawan melalui komen

KISAH DOLU-DOLU

Pak Teh | Rabu, November 23, 2011 |
Pagi ni teragak pulak Pak Teh nak makan roti canai...biasanya dalam seminggu sekurang-kurangnya 2 kali Pak Teh bersarapan dengan roti canai...Sebut pasal roti canai ni, teringat Pak Teh makan roti canai di Kota Bharu pada awal 70an. Masa tu Pak Teh terlibat dengan suatu kejohanan sukan peringkat kebangsaan...Sampai di warong tu, Pak Teh nampak berselera dengan roti canai yang dijual...Pak Teh terus order...Bila dihantar, seperti kebiasaannya Pak Teh akan cakap, " tolong bagi saya dal campur sambal"..Tuan punya warong itu tersenyum sambil bercakap dalam loghat Kelantan, " kami takde sediakan...kalau encik hendak, susu dan gula ada"...Pak Teh terpinga-pinga kerana Pak Teh tak pernah makan roti canai dengan susu atau gula...Rakan Pak Teh di sebelah "berbisik", "di sini roti canai memang makan roti canai dengan susu atau gula"...Jadi kata orang, masuk kandang kambing mengembek, Pak Teh orderlah susu...Pak Teh makan roti canai pagi tu rasa lain macam jer, maklumlah Pak Teh ni tak suka makan makanan yang manis-manis...kira itu pengalaman pertama Pak Teh..tapi semua itu sudah menjadi nostalgia kerana sekarang kalau pergi ke KB, kita bukan setakat masih boleh makan roti canai dengan susu tetapi boleh juga makan dengan kari dan dal...



TERHARU DAN SIMPATI

Pak Teh | Isnin, November 21, 2011 |
Ada masanya Pak Teh terharu..adakala simpati dan adakalanya kesian apabila terpampang di muka hadapan akhbar atau tersiar di tv,   bila keputusan peperiksaan diumumkan. Jika di akhbar-akhbar penuh dengan gambar-gambar kejayaan pelajar....mungkin ini merupakan suatu bentuk pengiktirafan ke atas murid-murid yang mencapai kejayaan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan....tapi pada pendapat Pak Teh kadangkala publisiti yang dibuat agak keterlaluan, sehinggakan ada ibubapa yang tidak boleh menerima hakikat yang anak mereka tidak mendapat keputusan cemerlang...lebih malang bila ada komen-komen yang kurang enak di dengar..."bila keputusan cemerlang, murid dan ibubapa dipuji dan bila keputusan merosot sekolah dan guru dipersalahkan"...
Semua ini tidak akan terjadi jika semua pihak faham konsep penilaian......mungkin ramai yang tidak tahu kenapa dinamakan UJIAN PENILAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR), PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR)  dan SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM). Semua itu secara mudah boleh dikatakan sebagai suatu peperiksaan, cuma salah satu perbezaannya adalah dari segi objektif diadakan peperiksaan tersebut...Oleh kerana kurang faham inilah maka ramai ibubapa kecewa dengan anak mereka walaupun hanya disebabkan kurang cemerlang dalam UPSR sedangkan UPSR itu hanyalah bertaraf UJIAN dan hanya diberi pengakuan berbentuk SLIP sahaja bukannya SIJIL.
Jika hendak dibahaskan isu ini, Pak Teh  rasa agak panjang juga entri Pak Teh nanti. Memadailah kalau Pak Teh katakan kegagalan atau kurang cemerlang UPSR bukanlah bermakna "gelap masa hadapan" anak-anak, mereka masih ada masa panjang untuk memperbaiki kelemahan mereka, masih ada PMR dan SPM. Beri mereka peluang dan beri kata-kata semangat kerana telah terbukti pelajar cemerlang di peringkat SPM tidak semua yang cemerlang dalam UPSR atau PMR...kita kena ingat makhluk yang dicipta oleh Allah swt berada dalam keadaan "normal curve" atau "lengkok normal" ( bagi mereka yang tahu statistik mungkin faham maksud Pak Teh) ...wallahhualam 

MENDAHULUI IMAM DALAM SOLAT

Pak Teh | Jumaat, November 18, 2011 |
Foto hiasan








Ada juga makmum  yang ambil mudah bila solat berjemaah...ada yang lebih cepat dari pergerakan imam dan ada yang terlalu lambat mengikut imam. Dalam entri ini Pak Teh nak kongsi satu kisah mengenai makmum yang mendahului imam, dipetik daripada Mirqat al-Mafatih dalam buku Solat Berjemaah karangan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz:
Diriwayatkan daripada setengah ulama hadis bahawa ada seorang lelaki telah pergi ke Damsyik kerana ingin mengambil riwayat hadis daripada seorang guru yang masyhur di sana.
Setibanya di sana dia telah diterima sebagai murid oleh guru tersebut dan terus memulakan pengajian dengannya. Apa yang menghairankan pelajar ini ialah gurunya telah meletakkan tabir semasa mengajar menyebabkan dia tidak dapat melihat muka gurunya dan tidak dapat mengenalinya.
Oleh kerana keinginan yang kuat, walaupun tidak melihat wajah guru, pelajar tersebut meneruskan pengajiannya dengan tekun dan beristiqamah. Setelah pengajiannya berlarutan memakan masa yang lama dan gurunya mula yakin dengan keikhlasan dan kesungguhannya, maka guru tersebut telah membuka tabir yang menghalang di antara mereka. Bila tabir dibuka, anak muridnya terkejut kerana wajah gurunya bukan wajah manusia tetapi wajah keldai.
Gurunya berkata: "Wahai anakku, berwaspadalah kamu daripada mendahului pergerakan imam ketika solat fardhu berjemaah. Sesungguhnya ketika dibacakan hadis ini kepadaku, aku beranggapan jauh kemungkinan berlaku pertukaran kepala atau wajah kepada kepala atau wajah keldai apabila seseorang mendahului perbuatan imamnya ketika solat. Lalu ketika solat aku sentiasa melakukannya, maka tiba-tiba bertukarlah mukaku kepada sebagaimana yang kamu lihat sekarang"

Wallahhualam

MAIN BOLA GUNA BOMOH

Pak Teh | Ahad, November 13, 2011 |
                                             
Dalam kehangatan mengikuti perkembangan bolasepak Sukan SEA di Indonesia, teringat Pak Teh bermain bolasepak di sekolah rendah dulu. Pak Teh taklah bagus sangat bermain tetapi terpilih jugak sebagai striker pasukan sekolah. Sekolah Pak Teh sekolah kampung, nak jadi johan daerah susahlah sikit. Tapi entah macam mana tahun tu nasib menyebelahi sekolah Pak Teh, dapat jadi johan daerah. Setelah bermain di peringkat antara daerah, sekolah Pak Teh dapat masuk final, buat pertama kali dalam sejarah sekolah tu...Masa itu dah kira macam masuk final Piala Dunia rasanya...hehehehe...mana tidaknya, dah jadi perbualan hangat orang kampung...di kedai kopi takde cerita lain, pasal sekolah Pak Teh masuk final tambahan pulak di  pertandingan separuh akhir, sekolah Pak Teh mengalahkan sekolah Johan peringkat negeri beberapa tahun...(Pak Teh dengar semua pemain sekolah tu kena kurung dalam jamban sekolah separuh hari sebagai hukuman kerana kalah...tapi sekarang tak berlaku kes begitu, kalau berlaku dah sah kes polis! hehehe)

Sebagai persediaan ke final, adalah pihak yang membawa kami berjumpa bomoh, konon-konon salah satu ikhtiar nak menang. Pak Teh masih ingat, setelah bomoh berjampi, secara bergilir kami di tepuk-tepuk belakang badan, macam nak gugur jantung dibuatnya...antara pantang larang yang Pak Teh masih ingat, tidak boleh masuk bawah rumah dan bawah ampaian kain menjelang final.
Di hari final, kami pagi-pagi lagi di bawa ke pusat bandar dan menginap di Rumah Rehat (rest house) kerana sebelah petangnya final di stadium negeri, maklum sahajalah pertama kali masuk final, layanan tentu istimewa. Masa itu kalau duduk di Rumah Rehat dah kira hotel sekarang ni..
Sebelum bergerak ke stadium yang jaraknya dalam 150 meter, kami sekali lagi dijampi oleh bomoh dan tiap kuku jari tangan ditekan dengan kuku ibu jari bomoh itu dengan kuat, sampai merah kuku :-)
Dipendekkan cerita, pasukan kami kalah agak teruk, kalah 4 kosong...apa yang Pak Teh nak kongsi di sini, kita janganlah "menghalalkan yang haram" untuk mencapai kejayaan...
Wallahhualam

PERTUKARAN TUGAS MALAIKAT

Pak Teh | Selasa, November 08, 2011 |





Ramai yang mendakwa dirinya tidak meninggalkan solat 5 waktu tetapi adakah solat itu memenuhi ciri-ciri solat yang lebih afdal. Antara cirinya ialah solat tepat pada waktunya dan berjemaah di masjid/surau. Bukan setakat itu sahaja, solat berjemaah di masjid mendapat 27 kali ganda pahala berbanding solat bersendirian. Walaupun para isteri kurang berpeluang  solat berjemaah di masjid, mereka juga akan dapat pahala jika suaminya berjemaah di masjid. Solat berjemaah di masjid lebih dituntut pada waktu solat Subuh, Asar dan Isyak kerana pada waktu solat Subuh dan Asar, adalah waktu pertukaran tugas malaikat. Marilah kita sama-sama merebut peluang ini. Wallahhualam



Rujukan: Solat Berjemaah oleh Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz

TAK CUKUP SEKADAR CAKAP "EEEE..TAK MALU"

Pak Teh | Sabtu, November 05, 2011 |
Sudah menjadi kelaziman bila anak-anak kecil mandi bertelanjang...bukan setakat masa mandi, malah bertelanjang semasa masuk dan keluar bilik mandi...tabiat ini kalau dibiarkan akan menyebabkan kanak-kanak kurang rasa malu walaupun masih belum akil baligh...dan kanak-kanak akan celaru fikirannya apabila ditegur... "kenapa dulu boleh, sekarang tak boleh!" Jadi eloklah kita tanamkan perasaan malu itu di peringkat mereka belum dapat berfikir begitu. 


Rasulullah saw pernah bersabda, "Setiap agama ada akhlaknya, bagi Islam akhlaknya ialah MALU" (maaf tidak dapat nyatakan rujukannya). Rasulullah saw meletakkan malu sebagai tiang kepada akhlak, hilang rasa malu rosaklah akhlak. Untuk memperolehi akhlak yang baik, kita kena malu kepada Allah swt, malu kepada diri sendiri dan malu kepada makhluk Allah.
Berbalik kepada isu anak-anak mandi bertelanjang di atas tadi, adalah lebih baik kita tanamkan perasaan malu dari awal lagi walaupun kita sedia maklum anak-anak tersebut belum ada perasaan malu.Kata orang melentur itu biarlah daripada rebungnya... Walahhualam

DOSA-DOSA KECIL IBARAT SEDIKIT-SEDIKIT....

Pak Teh | Ahad, Oktober 30, 2011 |


Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit...selalunya orang kaitkan dengan amalan mengumpul wang.....tetapi ramai yang lepas pandang dosa-dosa kecil yang kerap kita lakukan boleh menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar...
Ramai orang ambil mudah tentang dosa-dosa kecil dan beranggapan Allah swt mudah mengampunkannya. Implikasinya, mereka berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Hadith Rasullullah saw, baginda bersabda:"Beware of minor sins, for they will pile up until they destroy a person" (Ahmad; Saheeh al-Jaami’, 2686-2687)

Ada pendapat mengatakan apabila dosa kecil disertakan dengan tidak ada rasa malu  dan tidak takut kepada Allah swt serta ambil mudah, maka mendatangkan risiko dosa-dosa kecil dikira sebagai dosa besar.   Maka tidak ada dikatakan dosa kecil jika kita terus melakukannya dan tidak ada dosa besar jika kita ingin mendapatkan keampunan.( Sheikh Muhammad Saalih al-Munajjid-(islam-qa.com) Walllahhualam

NAK KE SUAMI MENINGGAL MENANGGUNG HUTANG?

Pak Teh | Selasa, Oktober 25, 2011 |
Hutang keliling pinggang...ungkapan yang menggambarkan seseorang yang terlalu banyak berhutang...Sekarang ini memang susah nak cari orang yang tak berhutang...kalau nak cash memang tak mampu dan tidaklah dapat hidup seperti orang lain...biasanya beli kereta berhutang...beli rumah berhutang...tambahan pula terlalu banyak pihak memberi tawaran yang menarik supaya kita berhutang...yang penting bila kita berhutang itu janganlah melibatkan riba kerana selagi kita berhutang, selagi itulah kita terlibat dengan riba..
Dalam entri Pak Teh kali ini bukan nak cerita pasal hutang di atas tetapi adalah pasal hutang antara suami dan isteri, hutang yang ramai pasangan suami isteri ambil mudah, sedangkan memberi implikasi di akhirat nanti. Apa yang Pak Teh hendak kongsi info bukanlah dari pendapat Pak Teh sendiri tetapi berdasarkan satu ceramah oleh seorang ustaz bertauliah.
Hutang yang Pak Teh maksudkan berkaitan nafkah suami kepada isteri dan keluarga. Tak kira samada suami itu berpendapatan tinggi atau rendah, mereka tetap bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan keluarga seperti makan minum, pakaian, rumah dll mengikut kemampuannya.
Sekarang ini memang bukan perkara luar biasa jika isteripun bekerja terutamanya untuk menambah pendapatan keluarga. Walaupun isteri itu bekerja dengan keizinan suami, suami tetap bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan keluarga. Kadangkala si suami lepas pandang terutamanya dalam hal makan minum dan pakaian.."takpelah...isteri aku bekerja, dia mampu beli"...lama kelamaan suami lupa terus tanggungjawab dia, tambahan bila pendapatan isteri jauh lebih besar.
JADI APAKAH JALAN PENYELESAIANNYA SUPAYA SUAMI TIDAK DIDAKWA DI AKHIRAT NANTI? Jika hendak kahwin wajib ada akad, maka dalam hal nafkah juga perlu ada akad antara suami dan isteri:
Suami: Pah...sejak kita kahwin, abang rasa abang tidak menunaikan sepenuhnya nafkah kepada Pah dan anak-anak. Banyak gak perbelanjaan guna duit Pah. Jika tidak menjadi keberatan kepada Pah, boleh tak Pah halalkan?
Isteri: Takpelah bang...Pah berduitpun abang yang izinkan Pah bekerja...Pah halalkan bang..
Suami: Alhamdulillah...terima kasih Pah.


Wallahhualam...

KISAH NYAMUK DAN POHON KURMA

Pak Teh | Jumaat, Oktober 21, 2011 |

Siapa yang tidak bengang bila orang mengata kita yang bukan-bukan...tambah bengang bila dihebahkan kepada orang lain. Zaman sekarang lagilah mudah hendak menghebahkannya dengan adanya laman sosial seperti face book dan twitter...kata orang seluruh dunia tahu. Isu yang ditulis pada wall kalau yang baik-baik takpelah tetapi banyak perkara yang mengaibkan orang dan melepaskan rasa benci kepada seseorang. Tanpa disedari apa yang ditulis itu menyerlahkan peribadi si penulis. Pembaca akan dapat tahu peribadi seseorang itu...seorang periang, seorang pendendam, seorang yang suka menyakitkan hati orang dan macam-macam lagi. Lebih teruk jika laman sosial itu merupakan laman interaktif...maka ramailah yang respon dengan pelbagai komen sedangkan tidak tahu hujung pangkalnya....kata orang suka jadi "nasi tambah"...
Kepada mereka yang bengang dengan situasi ini, Pak Teh sarankan hayati dialog antara nyamuk dan pohon kurma di bawah ini. Semoga kisah nyamuk dan pohon kurma ini dapat menenangkan keadaan. InsyaAllah

Seekor nyamuk berkata kepada pohon kurma, "Hati-hati kerana sesungguhnya aku akan terbang dan akan meninggalkanmu"
Maka jawab pohon kurma, " Demi Allah, aku tidak merasakan sesuatu saat kau hinggap padaku, lalu bagaimana aku akan merasakan sesuatu tatkala kau terbang?"


Fikir-fikirkan...

NASIHAT ATAU KUTUK!

Pak Teh | Khamis, Oktober 20, 2011 |

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan...begitu juga manusia, yang tidak lepas dari melakukan kesalahan...tetapi adakah kita hendak biarkan mereka terus melakukan kesalahan terutamanya keluarga dan sahabat kita. Jadi apa yang perlu kita lakukan? Adakah kita memberi nasihat atau mengutuk atas kesalahan yang mereka dilakukan? Sekarang ini kita nampak lebih ramai yang mengutuk daripada yang memberi nasihat. Tidak hairanlah di laman-laman  sosial dipenuhi dengan kutukan dan penghinaan. Lebih parah lagi apabila reaksi orang lain pula menambah kutukan dan penghinaan itu.
Dalam entri kali ini Pak Teh hendak memberi beberapa tips semasa kita memberi nasihat atau teguran sebagai panduan kepada kekawan dan juga diri Pak Teh sendiri:
1.  Pilih perkataan yang sesuai yang menjurus kepada nasihat, bukan perkataan yang mengutuk, mengeji dan menghina
2.   Nasihatlah apabila emosi kita masih terkawal bukannya semasa kita dalam keadaan marah. Jika perlu tangguhkan dulu sehingga kita berada dalam keadaan tenang.
3.  Jika kita rasa yang kita berhak memberi nasihat kepada mereka yang melakukan kesalahan, kita juga sepatutnya menghargai apa yang baik pada orang itu.
4.      Jika kita hendak menasihati orang, kita juga sepatutnya bersedia menerima nasihat orang lain
5.    Walaupun kita tahu kesalahan orang lain, kita haruslah sentiasa merendah diri. Jangan anggap diri kita semuanya betul dan sentiasa betul.
6.      Betulkan niat kita semasa memberi nasihat atau teguran
7.      Elakkan teguran itu dilakukan di khalayak ramai
8.      Elakkan daripada sentiasa mencari kesalahan orang
9.      Pastikan nasihat atau teguran kita itu menggambarkan perangai atau tingkahlaku kita
10.   Dapat membezakan dengan baik antara naseehah (memberi nasihat) dengan fadeehah (memberi aib atau menghina).

Wallahhualam

TIPS MENGISI MINYAK PETROL

Pak Teh | Rabu, Oktober 12, 2011 |


Dalam krisis kenaikan harga petrol, pelbagai cara untuk menanganinya. Kita sebagai pengguna perlu mengambil tindakan di dalam kawalan kita. Pelbagai cara kita boleh menjimatkan penggunaan petrol. Dalam entri ini Pak Teh nak kongsi satu tips mengisi minyak petrol untuk penjimatan. Mungkin ada yang sudah tahu tapi Pak Teh sekadar mengingatkan terutamanya bagi kekawan yang tidak sabar semasa mengisi minyak petrol.
Selalunya kita akan menekan alat pengepam minyak/nozzle pam tersebut secara maksima (genggaman maksima) untuk pengisian yang cepat. Tetapi apa yang perlu lakukan sekarang adalah dengan menekan nozzle minyak tersebut secara minima yang boleh dan perlu menunggu lama sedikit untuk pam tersebut berhenti mengikut jumlah wang yang dibayar.
Mengikut orang yang arif tentang petrol, memang benar jika kita  mengisi minyak pada tahap mengepam yang maksima, petrol tersebut akan bercampur dengan gas (lebih banyak gas daripada petrol). Pada kadar yang minima pula hanya petrol sahaja yang akan dipamkan ke dalam tangki kereta kita. Mengapa tidak kita mencuba dalam keadaan sekarang di mana harga petrol kian meningkat...
Walaupun kerajaan sudah mewajibkan sistem Layan Diri di stesen pam minyak seluruh negara tapi, kini pengusaha stesen minyak kembali menyediakan pekerja untuk menolong mengisi minyak+khidmat cuci cermin dan cek minyak enjin pada kenderaan kita kan!! ini supaya petrol di pam secara cepat agar mereka lebih untung. (ada logiknya)

Tips  Tambahan :
Pensyarah sebuah universiti pernah memberitahu tips tentang "masa sesuai" untuk mengisi minyak kenderaan :

1. Lebih baik isi minyak pada waktu malam atau awal pagi, untuk mengelakkan minyak bercampur dengan wap air (wap air yang terjadi apabila suhu panas di dalam tangki besar - yg. terletak di bawah stesen minyak). Petrol yang bercampur air pastinya cepat merosakkan enjin kenderaan anda.

2. Cuba kurangkan mengisi minyak pada waktu PANAS TERIK/SIANG HARI kerana wap air paling banyak pada waktu ini, tetapi jika tidak boleh dielakkan, cuba isi petrol seminimum yang boleh, sekadar sesuai untuk kegunaan semasa, agar kita boleh isi semula pada waktu malam hari.

Selamat Mencuba.

SENAMAN TAUHID DAN ASMAUL HUSNA

Pak Teh | Selasa, Oktober 11, 2011 |
As salam...

Kesedaran dalam meningkatkan tahap kesihatan menyebabkan pelbagai cara manusia lakukan. Ada yang memperbaiki amalan pemakanan, mengamalkan senaman harian dan ada juga yang mengambil jalan singkat dengan memakan makanan tambahan. Tetapi sebenarnya tidak ada jalan singkat kalau kita inginkan sesuatu berkekalan atau berpanjangan. Begitu juga dengan senaman, perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu: dan setiap kali paling minima 30 minit. Jadi senaman apa yang paling sesuai? Jika di Malaysia, senaman yoga dan taici telah lama diamalkan oleh ramai orang termasuklah orang Melayu/Islam. Semua sedia maklum, senaman yoga berasal dari India dan taici berasal dari China. Memandangkan agak terlalu ramai orang Melayu/Islam mengamalkan yoga, maka Muzakarah Kali Ke 83 pada 22-24 Oktober 2008 telah bersetuju memutuskan bahawa senaman yoga atau bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah umat Islam adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.
Maka orang Melayu/Islam tercari-cari apakah senaman yang sesuai berlandaskan syariat Islam.  Dalam entri kali ini, Pak Teh ingin berkongsi info mengenai Senaman Tauhid dan Asmaul Husna yang diperkenalkan oleh Ustaz Raflis Sabirin dalam bukunya terbitan MMP Communications Sdn Bhd. Biasanyanya bila kita bersenam, tempoh masa kita melakukan gerak itu dengan kiraan 8. Pernah tidak kekawan terfikir, alangkah baiknya jika kiraan lapan (1,2,3,4,5,6,7,8) itu kita digantikan dengan zikir....Allah....Allah..Allah.. Inilah yang cuba hendak disampaikan oleh Ustaz Raflis dalam bukunya. Jika rakan-rakan hendak tahu lebih lanjut tentang senaman ini eloklah dapat senaskah buku tersebut.. 
Wallahhualam

WASIAT IMAM SYAFIE TENTANG HAK

Pak Teh | Ahad, Oktober 09, 2011 |
As salam...

Memang tidak dinafikan bahawa manusia suka sangat berpatah arang untuk mendapatkan hak mereka, sedangkan dalam masa yang sama mereka lupa yang ada pihak yang menuntut hak dari mereka. Dalam entri kali ini Pak Teh hendak berkongsi info Wasiat Imam Syafie tentang "HAK". Pak Teh rasa tak perlulah hendak perkenalkan siapa dia Imam Syafie iaitu ulama tersohor yang mempelopori Mazhab Syafie.
Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat yang merupakan nasihat yang sangat bernilai untuk kita. Wasiat tersebut masih tersimpan di Perpustakaan al-Asad al- Wataniyyah di Damsyiq, Syria. Wasiatnya ialah:
"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara"
Pertama: Hak kepada diri
Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
Kedua: Hak kepada Malaikat maut
Mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah
Ketiga: Hak kepada kubur
Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
Keempat: Hak kepada Munkar dan Nakir
Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati
Kelima: Hak kepada Mizan ( neraca timbangan amalan pada hari akhirat)
Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.
Keenam: Hak kepada Sirat ( titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)
Membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
Ketujuh: Hak kepada Malik ( Malaikat penjaga neraka)
Menangis lantaran takutkan Allah swt, berbuat baik kepada ibubapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.
Kelapan: Hak kepada Ridhwan (Malaikat penjaga syurga)
Berasa redha kepada qadha Allah swt, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah swt  dan bertaubat dari melakukan maksiat.
Kesembilan: Hak kepada Nabi saw
Berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada al-Sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah swt.
Kesepuluh: Hak kepada Allah swt
Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Sumber: Kisah Pengembaraan Imam Syafie

CCTV vs HIDDEN CAMERA

Pak Teh | Khamis, September 29, 2011 |
As salam...

Closed-circuit television atau lebih dikenali sebagai cctv adalah satu peralatan yang menggunakan kamera video untuk memancarkan signal kepada monitor yang terhad dalam kawasan yang terhad juga. Cctv ini digunakan di premis yang berisiko seperti bank, lapangan terbang, pusat perniagaan dan premis larangan. Dengan adanya cctv ini dapat mengesan apa yang berlaku dan boleh direkodkan. Kebelakangan ini banyak kes-kes jenayah dapat diselesaikan dengan adanya cctv sebagai bahan bukti atau dijadikan sebagai petunjuk untuk menyelesaikan kes jenayah. Malah sekarang ini ramai juga yang memasang cctv di rumah sebagai alat keselamatan di rumah. Biasanya kita boleh nampak ada dipasang cctv di sesuatu premis terutama lokasi yang strategik seperi di pintu masuk atau tempat menunggu lif. Kehadiran cctv ini juga membolehkan orang ramai berasa lebih selamat apabila berada di dalam sesuatu premis. Tetapi bagaimana dengan "hidden camera", adakah pemasangannya memberi manfaat seperti cctv? Realitinya, pemasangan "hidden camera" atau kamera yang disorok lebih kepada aktiviti tidak bermoral atau tidak bertanggungjawab iaitu merakam sesuatu untuk tujuan jahat. "Hidden camera" ini banyak dipasang untuk merakam aktiviti seseorang umpamanya dalam  "fitting room" di pusat membeli belah, tandas atau bilik hotel. Ramai yang telah menjadi mangsa  "hidden camera" apabila rakaman itu diedarkan atau disiarkan dalam internet.
Sehubungan itu, dalam entri Pak Teh kali ini, Pak Teh akan memanjangkan info yang Pak Teh perolehi sebagai satu panduan supaya tidak menjadi mangsa "hidden camera", terutamanya kaum wanita.
Bagaimana caranya kita nak mengesan kehadiran "hidden camera" ini? Katalah "hidden camera" itu dipasang dalam "fitting room" di pusat membeli belah. Sebelum masuk pastikan telefon bimbit kita berfungsi dan sebaik sahaja berada di dalam bilik tersebut cuba buat satu panggilan. Jika kita tidak dapat membuat panggilan, besar kemungkinan ada "hidden camera" di dalam bilik tersebut. Panggilan tersebut tidak dapat dilakukan kerana adanya gangguan kabel optik fiber (fiber optic cable) litar "hidden camera" tersebut.....Wallahhualam

DAH TUA SELALU SAKIT

Pak Teh | Selasa, September 27, 2011 |
As salam...

Semestinyakah bila kita dah tua kerap sakit? Jawapannya terlalu subjektif... banyak faktor yang mempengaruhinya...kebiasaannya bila usia meningkat seseorang itu kerap sakit lebih kepada akibat apa yang berlaku semasa muda...mungkin disebabkan oleh gaya hidup, pemakanan dan aktiviti fizikal..
Ada satu kajian yang telah dijalankan di negara barat, mendapati mereka yang berumur dalam lingkungan 70 tahun kurang mendapat sakit jika semasa mudanya bersikap positif dalam banyak hal, berbanding dengan mereka yang sentiasa bersikap negatif dalam banyak hal...
Dalam konteks Islam, bersikap positif itu lebih kepada sentiasa bersyukur dengan semua anugerah Allah s.w.t. dan menerima sesuatu itu sebagai dugaan dan ujian Allah s.w.t. Kita jangan ingat hanya kita dalam kesusahan sahaja dikatakan ujian Allah s.w.t. malah ketika kita dalam kemewahan dan kesenangan juga merupakan ujian Allah s.w.t. Wallahhualam

BMW 7 Series

Pak Teh | Khamis, September 15, 2011 |
As salam...

Ooops sori kekawan....dalam entri aku kali ni bukan nak cerita pasal kereta BMW walaupun tajuk entri jenama kereta mewah... tetapi ceritanya pasal tuanpunya kereta BMW 7 Series menunaikan solat di masjid....
Semua orang tahu, nak dapat pahala lebih solatlah berjemaah di masjid dan kalau berjalan kaki ke masjid lebih besar pahalanya, berdasarkan kiraan langkahnya, lagi banyak langkah, langkah banyak pahalanya, insyaAllah....Yang aku nak cerita ini ialah seorang hamba Allah meletakkan kereta BMW 7 series nya dalam kawasan parkir masjid. Jarak keretanya ke bangunan masjid lebih kurang 15 meter sahaja. Dengan bangganya aku melihat hamba Allah itu keluar dari keretanya dan terus menekan remote. Pastu aku jadi kehairanan kerana aku nampak hamba Allah itu berjalan berjengkit-jengkit menuju ke arah bangunan masjid. Rupa-rupanya dia berkaki ayam...pelik gak aku...takkan takde selipar atau kasut untuk dipakai menuju ke bangunan masjid...malaslah aku nak fikir sebab dia berkaki ayam kerana tak pasal2 nanti aku dapat dosa, orang kata "dosa kering"...Cuma aku berharap kekawan dapat membuat penilaian sendiri tentang kes tadi. Wallahhualam

SETAKAT TAHU YANG MACAM MANA?

Pak Teh | Ahad, September 04, 2011 |
As salam...

TAHU....ramai orang yang mengaku tahu tetapi sejauh mana tahunya itu..sesetengah orang itu tahu luaran sahaja dan ada yang tahu luar dan dalam.....begitu juga ada orang yang tahu sesuatu ilmu tetapi tidak tahu menggunakan ilmu itu...agak teruk jika orang itu kata tahu sedangkan dia tak tahu....lagi malang jika orang itu tahu tetapi buat-buat tak tahu...Jadi tahu dan tidak tahu yang mana kita hendak..
Teringat aku  dalam salah satu takzirah subuh, ustaz itu mengatakan Saiyidina Umar Al Khattab mengkategorikan manusia ini kepada 4 kategori berdasarkan ilmu dan iman.
Kategori 1: Dia tahu, dia memang tahu dan dia memang betul-betul tahu (dan mengamalkannya)
Kategori 2: Dia tahu, dia memang tahu dan dia tidak tahu yang dia tahu (dan tidak mengamalkannya)
Kategori 3: Dia tahu, dia tidak tahu apa yang patut dia tahu dan tidak tahu apa yang patut diamalkan
Kategori 4: Dia tidak tahu, dia memang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu


Kategori pertama adalah manusia yang dikatakan beriman, manakala kategori kedua adalah manusia yang perlu diingatkan selalu, kategori ketiga adalah manusia yang  perlu diberi bimbingan dan kategori keempat adalah manusia yang perlu dijauhi, takut-takut kita terikut atau termasuk dalam kumpulannya.


Wallahhualam

SAWADIKAP....TERKENA AKU

Pak Teh | Ahad, Ogos 21, 2011 |
As salam...

Kata orang tak sah kalau tak usik anak dara orang kalau budak lelaki duduk berkumpul ramai-ramai...paling kurang pun dengan teguran memberi salam, yang terlebih tu faham-faham jelah, tak payahlah aku nak perincikan...kali ini aku nak cerita pasal usik mengusik anak dara semasa aku berumur 20 tahun, belajar di sebuah kolej di Pulau Mutiara...ceritanya begini....memang menjadi rutin harian kami setiap petang bermain bolasepak di padang kolej. Bahagian belakang padang itu, jalanraya utama dan di seberang jalan terdapat taman perumahan, kebanyakannya rumah jenis bungalo, sudah tentu orang yang loaded saje tinggal di situ. Sebenarnya kami teruja sangat bermain bolasepak setiap petang kerana kata orang ada motivasi....dua orang wanita yang duduk di halaman rumah sering memerhati kami bermain bolasepak...nak jadi cerita, dah kerap sangat kami nampak mereka, maka mulalah kami menjadi lebih ramah...melambai-lambai tangan kepada mereka....rupanya kami tidak bertepuk sebelah tangan....peristiwa lambai melambai terus berlaku setiap petang sehingga kami semua teruja nak tahu siapa mereka...ada yang mencadangkan  supaya pergi sahaja jumpa mereka...tetapi siapa yang nak pergi? masing-masing semuanya menolak...maklum sajalah tak tahu lagi apa kemungkinan yang berlaku jika pergi menemui mereka...hasrat nak jumpa mereka itu terpendam buat seketika...nak jadi cerita, suatu petang aku gatal mulut pulak, "Kalau korang tak berani, biar aku je yang pergi!" Tapi macam mana? Bincang punya bincang, bila tengah main, salah sorang menendang bola kuat-kuat supaya bola tu melepasi pagar dan melepasi jalanraya dan sampai ke depan rumah perempuan itu...rancangan  kami menjadi, bola itu memang mendarat di depan rumah perempuan itu. Kelihatan perempuan itu memberi isyarat menyuruh datang mengambil bola..dah tentu itu menjadi tugas aku...aku pun keluar melalui lubang kecil pada pagar, menyeberang jalanraya dan sampai di depan rumah perempuan itu, tapi hanya seorang je yang ada, mana sorang lagi? Akupun tak berlengah lagi, dengan malu-malu mengambil bola itu dan terus menendang bola itu dengan kuat supaya masuk semula ke dalam padang...
Dipendekkan cerita, setelah aku menendang bola, kami bertegur sapa...rupanya perempuan Melayu...dia mengajak aku masuk ke rumah kerana "mem" nya ajak minum...aku menolak pelawaannya dengan pelbagai alasan, namun akhirnya termakan juga pujukannya...sebaik aku melangkah masuk rumah itu, berdiri seorang wanita cantik dengan tersenyum menegur aku, "Sawadikap...." kata orang, gugur jantung aku mendengar teguran suara lembut dari seorang wanita cantik...aku terpinga-pinga dengan teguran sebegitu..maklum sajelah perkataan itu ramai yang tahu iaitu bahasa Siam..."Perempuan ni Siam ke Melayu sebab yang mengajak aku masuk tadi Melayu"...Dipendekkan cerita, rupa-rupanya wanita yang menunggu di dalam rumah adalah berbangsa Thai dan bertugas sebagai Pensyarah Bahasa Thai di USM. Perempuan Melayu yang mengajak aku masuk ialah pembantu rumahnya...sejak dari peristiwa itu aku dan  Miss Ticha (nama pensyarah tu) menjadi kawan baik sehinggalah aku tamat belajar di kolej.

ORANG TAWAKKAL, AWAKPUN NAK TAWAKKAL TAPI..

Pak Teh | Khamis, Ogos 18, 2011 |

As salam...

Ramai orang ambil jalan pintas dengan hanya bertawakkal kepada Allah s.w.t. sedangkan sebelum bertawakkal ada perkara-perkara yang perlu kita lakukan terlebih dahulu. Saidina Umar pernah menegaskan bahawa bertawakkal itu ibarat seorang petani yang telah menyemai biji-biji benih ke dalam tanah, setelah tanah itu diusahakan dan dibaja dengan sebaik-baiknya. Kemudian barulah ia bertawakkal kepada Allah s.w.t.
Di zaman Rasulullah s.a.w. pernah berlaku satu peristiwa iaitu ada seorang lelaki yang datang berjumpa Rasullullah s.a.w. kerana hendak bertanya sesuatu untuk dirinya, setelah bercakap-cakap seketika lelaki tersebut memberitahu yang dia datang dengan mengenderai unta, dan untanya itu dilepaskan dengan bertawakkal kepada Allah s.w.t. Dengan wajah yang berubah sebagai menunjukkan tidak bersetuju terhadap cara tawakkal lelaki itu, lalu baginda bersabda, maksudnya: "Ikatlah dahulu unta kamu itu kemudian barulah bertawakkal"




Sumber: Asas Aqidah Islam

SUSAH SANGAT KE NAK BERSEDEKAH?

Pak Teh | Sabtu, Ogos 13, 2011 |
As salam....

Semua orang tau bersedekah di bulan Ramadhan sangat besar pahalanya...menyebabkan ramai orang berebut-rebut amik kesempatan untuk bersedekah terutamanya  bersedekah dengan memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa...kerana bersedekah makanan berbuka puasa, pahala orang yang berpuasa itu kita dapat tanpa mengurangkan pahala orang itu berpuasa, disamping pahala kita bersedekah....Jadi tak heranlah individu atau pertubuhan sanggup berdiri di tepi jalan mengedarkan juadah berbuka puasa, terutamanya bubur lambuk... Bagaimana pula orang yang tak berkemampuan bersedekah sebegitu rupa? Sebenarnya masih banyak cara kita bersedekah walaupun dalam konteks wang ringgit kita kurang mampu untuk bersedekah...setengah orang mengatakan paling mudah bersedekah "tanpa modal" ialah dengan melemparkan senyuman kerana senyuman itu merupakan satu sedekah...
Apa yang aku ceritakan di atas semua orang tau cuma dalam entri kali ni aku nak kaitkan dengan kata-kata seorang ustaz semasa takzirah subuh. Ustaz itu memberitahu jangan ambil jalan mudah untuk bersedekah....jalan mudah?...selepas beliau menjelaskannya barulah aku tau maksud "jalan mudah" itu, antara maksudnya ialah kita jangan setakat menghantar wang sedekah kepada Badan Kebajikan dan yang seumpamanya kerana itu dikatakan sebagai "jalan mudah" untuk bersedekah...beliau menyarankan supaya kita bersusah payah sedikit mencari penerima sedekah yang benar-benar layak semoga sedekah kita sedekah yang mabrur.... Wallahhualam

Next previous home