Apabila diumumkan yang guru-guru DG41 hingga DG48 (guru siswazah) boleh bergiat aktif dalam politik, maka banyaklah pihak yang memberi pendapat, ada yang bersetuju dan yang tidak bersetuju. Perkara ini berlaku kerana ada pihak-pihak yang menyempitkan maksud politik...sebenarnya guru-guru DG41 hingga DG48 sebelum inipun telah berpolitik, cuma mereka hanya dibenarkan bergiat sebagai ahli biasa kepada sesuatu pertubuhan politik, tetapi sekarang mereka dibenarkan memegang jawatan.
Jika dihayati betul-betul maksud politik, tentu kita akan menerima pengumuman itu dengan hati terbuka. Kalangan guru pula patut berbangga kerana pengumuman itu merupakan satu pengiktirafan kepada guru dalam menentukan hala tuju kerajaan.
Adapun definisi politik dari sudut pandangan Islam adalah pengaturan urusan-urusan (kepentingan) umat, baik dalam negeri maupun luar negeri berdasarkan hukum-hukum Islam. Mengikut Imam al-Ghazali; “Agama dan kekuasaan adalah dua saudara kembar. Agama adalah asas dan kekuasaan adalah penjaganya. Segala sesuatu yang tidak asas nescaya akan runtuh dan segala sesuatu yang tidak berpenjaga nescaya akan hilang dan lenyap”.
Politik dalam pandangan Islam adalah pengaturan urusan-urusan rakyat yang didasarkan kepada hukum-hukum Islam. Berbeza dengan politik Barat, politik diertikan sebagai pengaturan kekuasaan, bahkan menjadikan kekuasaan sebagai tujuan dari politik. Akibatnya yang terjadi hanyalah kekacauan dan perebutan kekuasaan, bukan untuk menguruskan rakyat.
Oleh itu selagi kaum guru berpolitik mengikut konsep politik Islam dan selagi tidak menjejaskan tugas hakiki sebagai seorang guru, penglibatan mereka secara aktif adalah dialu-alukan. Malah penglibatan mereka secara tidak langsung telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Firman Allah SWT yang maksudnya:“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” (TQS. Ali Imran [03]: 104).
Fikir-fikirkan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen jelah apa yang patut...TERIMA KASIH