Daripada Abi Said Saad bin Malik bin Sanan al-Khidir r.a., bahawa Rasullullah saw telah bercerita: Ada seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu (umat Bani Israel) telah membunuh sebanyak 99 nyawa. Selepas itu, dia bertanya siapakah manusia yang paling alim di atas muka bumi ini? Lantas ditunjukkan kepadanya seorang ahli ibadah. Lalu, dia pergi kepadanya seraya berkata, "Sesungguhnya aku telah membunuh 99 nyawa. Adakah taubatku diterima?" Ahli ibadah itu berkata, "Taubatmu tidak akan diterima." Lelaki itu membunuh ahli ibadah itu bagi mencukupkan bilangan menjadi 100 orang. Kemudian, dia bertanya lagi, "Siapakah manusia yang paling alim pada ketika ini?" Lantas ditunjukkan kepadanya seorang alim. Dia bertanya kepada orang alim itu, "Aku telah membunuh 100 jiwa. Masih adakah ruang bagiku bertaubat?" Jawab orang alim itu, "Ya dan siapakah yang boleh menghalang seseorang untuk bertaubat? Pergilah ke negeri sana dan sana. Sesungguhnya, di sana terdapat manusia yang menyembah Allah swt. Sembahlah Allah bersama-sama mereka. Janganlah engkau kembali ke negerimu kerana negerimu itu adalah negeri sial." Lelaki itupun pergi ke negeri yang dimaksudkan. Apabila tiba di pertengahan jalan, dia menemui ajalnya di situ. Bertelagahlah Malaikat Rahmat dengan Malaikat Azab dalam pengurusan rohnya. Berkata Malaikat Rahmat, "Lelaki ini datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah swt." Malaikat Azab pula berkata, "Lelaki ini tidak mempunyai amalan kebajikan langsung." Lantas, datanglah kepada mereka malaikat yang menyerupai manusia (dengan perintah Allah swt), lalu, mereka menjadikannya sebagai hakim. Dia berkata, "Ukurlah jarak antara dua negeri ini (negeri tempat datangnya lelaki itu serta negeri yang ingin ditujunya). Negeri manakah yang lebih dekat. Maka, roh lelaki ini adalah untuknya." Lantas, mereka mengukurnya dan mendapati tempat yang hendak ditujunya lebih dekat. Justeru, rohnya diambil oleh Malaikat Rahmat.
Sohih al-Bukhari: 3211: Sohih Muslim: 4967; Sunan Ibni Majah: 2612; Musnad Ahmad: 11262
Kisah-kisah daripada Rasullullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen jelah apa yang patut...TERIMA KASIH