Kalau dalam Part 1 aku menceritakan tentang kategori ibubapa yang menjadikan anak sebagai musuh, Part 2 pula sebagai kekasih, maka dalam Part 3 ini aku nak berkongsi pula kategori ibubapa yang menjadikan anak-anak sebagai KAWAN. Kawan ialah orang yang kita kenali, yang dihormati dan dihargai tetapi taklah sampai dipuja, disayangi tapi taklah sampai dicintai setengah mati. Kawan diingati tapi taklah sampai dirindui setiap saat. Bersedia untuk mendengar tapi taklah sampai setiap masa; dibela tapi taklah sampai sanggup mati kerananya: dikenang tapi taklah sampai diutamakan.
Ramai anak-anak sekarang bersikap pentingkan diri sendiri dan tidak mempunyai sikap memperdulikan ibubapa mereka. Ini kerana sejak dari kecil lagi mereka telah sedia maklum, sebagai ibubapa, kita sanggup berkorban apa sahaja untuk mereka, kita selalu teringatkan mereka, kita terlalu sayangkan mereka. Kita tak sanggup tengok mereka merana, susah mereka kita bantu, sakit mereka sakitlah juga kita. Akibatnya, maka terpahat di jiwa mereka sikap "tidak terlalu khuatir" atau "ignorant" dengan sikap kita terhadap mereka sehinggakan mereka adalah anak yang hanya mementingkan diri mereka sahaja, tidak memperdulikan ibubapa, berani melakukan apa sahaja walaupun akan menyakiti hati ibubapa mereka. Ibubapa janganlah jadikan anak-anak seperti kekasih. Ibubapa harus menzahirkan bahawa anak-anak yang seharusnya memerlukan ibubapa bukannya ibubapa yang memerlukan anak-anak. Kelak mereka akan mengambil kesempatan dan tidak mengendahkan kita. Gambarkan kepada mereka, kita boleh hidup seperti biasa tanpa mereka dan mereka akan menjadi susah di dunia dan akhirat tanpa kita. Namun begitu jangan pula kita jadikan anak-anak seperti musuh; buruk padahnya kelak. Mereka tidak akan menghargai kita malah membenci kita. Sebaik-baiknya jadikanlah mereka seperti kawan.
Kawan di sini bukanlah seperti istilah kawan yang dimaksudkan oleh ahli psikologi Barat. Kawan dalam konteks Barat, matlamatnya ialah memecahkan benteng kekuasaan (authoritarian) ibubapa yang dianggap penghambat dalam perhubungan antara ibubapa dan anak-anak. Akibatnya ramai ibubapa yang menjadikan anak mereka sebagai "kawan", akhirnya ibubapa juga kecewa, kerana hilang perasaan hormat anak-anak terhadap mereka.
Seharusnya, anak-anak dididik untuk berbahasa dan bersopan santun terhadap ibubapa. Ada pulak pihak yang menggalakkan ibubapa mempelajari bahasa anak-anak sekarang, yang jelas bukan bahasa yang baik bahkan bahasa pelik yang mereka gunakan antara sesama mereka. Kononnya jika ibubapa mengetahui bahasa yang digunakan oelh anak-anak zaman sekarang, maka hubungan ibubapa dan anak-anak akan menjadi lebih akrab kerana kita memahami bahasa mereka.
Bukankah seharusnya anak-anak yang mesti diajar memahami bahasa yang sopan terhadap ibubapanya? Sebaiknya ibubapa mesti mengekalkan sikap penguasaan mereka terhadap anak-anak, agar batas kekuasaan antara anak-anak dengan ibubapa sentiasa ada. Ibubapa juga harus bersikap tegas, khususnya terhadap perkara-perkara yang salah dari segi agama, undang-undang, adat dan budaya.
Anak-anak boleh menjadi manusia yang berdisiplin dengan mematuhi hukum dan peraturan. Ibubapa menjadi kawan kepada mereka, bukan pada pergaulan tapi pada sikap kepercayaan.
Diolah daripada: Kaedah mendidik isteri & anak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen jelah apa yang patut...TERIMA KASIH