Kepada anak-anak Abah yang disayangi,
Jagalah diri kamu dan hargailah penghidupan ini. Hidup hanya sekali sahaja., kemudian kita akan dipindahkan ke alam akhirat. Sebagai seorang bapa, Abah bertanggungjawab ke atas kamu dan Abah mahukan agar kamu semua berjaya; berjaya di dunia dan berjaya di akhirat kelak. Setiap anak Abah yang baik, Abah layan dengan kebaikan dan kasih sayang tetapi bagi anak-anak Abah yang kadangkala memilih untuk berbuat yang salah, maka Abah terpaksa bersikap tegas.
Maafkanlah Abah apabila Abah terpaksa memukul kamu...Abah tidak pernah menyesal apabila terpaksa memukul kamu kerana akibat daripada ketegasan itu, kamu semua membesar menjadi anak-anak yang terkawal. Mudah-mudahan begitulah hendaknya hingga kamu dewasa dan mula mempunyai keluarga kamu sendiri.
Abah sedar....
Sebagai seorang insan yang biasa, kadangkala Abah tersilap dalam membuat penilaian terhadap kamu. Ada yang Abah terpukul padahal kamu tidak bersalah atau terlebih pukul atau tersalah pukul. Ketahuilah anak-anak Abah sekalian, hati Abah tidak sedikitpun merasa gembira bila terpaksa memukul kamu. Selalunya hati Abah akan menangis setiap kali setelah terpaksa memukul kamu. Itu sebabnya Abah akan menyendiri seketika merenung tindakan Abah dan kelakuan kamu.
Hargailah pengorbanan Abah dan Mak kamu...
Semenjak kamu kecil, berbagai sakit dan pahit yang kami lalui ketika membesarkan kamu semua. Darah yang mengalir di dalam tubuh badan kamu berasal dari darah kami. Kenanglah jasa dan pengorbanan kami walaupun kamu merasakannya tidak seberapa. Semasa kamu lapar, susah payah kami carikan kamu makan, kamu diberi makan dahulu sebelum kami makan dan kadangkala hingga tidak ada kesempatan untuk kami makan.
Semasa kamu membuang air besar, kamilah yang mengistinjakkan kamu, tanpa merasa jijik sedikitpun dengan najis kamu. Semasa kamu sakit, sepanjang malam kami berjaga merawat kamu sambil hati tidak henti-henti merintih pada Allah agar Dia segera menyembuhkan kamu. Di dalam solat kami akan berdoa lagi hingga berlinang air mata mengenangkan penderitaan penyakit kamu.
Semasa kamu terpaksa dimasukkan ke hospital, kami sentiasa menemankan kamu siang dan malam. Setiap kali doktor muncul, segera kami tanyakan keadaan kamu dan bilakah kamu akan sembuh. Apabila dikatakan kamu memerlukan darah, darah kamilah yang kami tawarkan, tanpa memikirkan risiko kesihatan kami sendiri.
Wahai anak-anak kami...
Sedikitpun tidak kami pentingkan diri kami sendiri melainkan kamulah yang melebihi kepentingan diri kami sendiri. Semasa kamu akan ke sekolah, kamilah yang bersusah payah mengusahakan agar kamu mendapatkan pelajaran yang terbaik. Kami terpaksa berkais-kais kerana pembiayaan sekolah kamu yang sangat tinggi. Setiap kali kamu akan menduduki peperiksaan, hati kami akan turut berdebar-debar.
Apabila kamu berjaya kami tumpang gembira dan apabila kamu gagal kami turut bersedih. Padahal itu semua tidak ada kaitan dengan masa depan kami tetapi masa depan kamu. Semasa kamu susah, kami juga turut susah. Setiap kali kamu keluar rumah. kami akan iringkan dengan doa semoga kamu selamat, apabila kamu terlewat pulang, jiwa kami merasa risau dan tidak tentu arah. Bermacam-macam gambaran yang bermain di benak fikiran kami, berterusan kami dalam keadaan demikian hinggalah kami dapat melihat kamu semula ke pangkuan kami.
Begitu jiwa kami wahai anak-anak...
Kami tidak mengharapkan agar kamu semua membalas jasa kami. Kami hanya harapkan agar kamu menghargai jasa tersebut. Suka ataupun tidak, itulah hakikat jasa kami terhadap kamu. Suka ataupun tidak, kamu berjaya dibesarkan melalui jasa-jasa kami.
Jangan sesekali kamu mengatakan bahawa itu semua adalah hak kamu. Semenjak kamu kecil kami mempunyai banyak pilihan untuk tidak membesarkan kamu seperti apa yang dilakukan oleh sebahagian ibubapa yang tidak bertanggungjawab.
Tetapi dengan kehendak dan kemahuan kami sendiri, kami menolak semua itu dan memilih untuk membesarkan kamu dengan baik. Janganlah kamu menjadi anak-anak yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja.
Ketahuilah...
Kamu juga akan bertanggungjawab terhadap setiap tindak-tindak kamu terhadap kami. Tidak ada satupun yang akan terlepas daripada disoal oleh Allah s.w.t. Jadilah kamu semua wahai anak-anak kami, hamba Allah yang baik.
...Abah
Dipetik daripada Kaedah Mendidik Isteri dan Anak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen jelah apa yang patut...TERIMA KASIH